|
ATLET negara, Azreen Nabila Alias menang pingat emas acara 100m AUG 2022 dengan catatan 11.88 saat.
Ubon Ratchathani: Gelaran Ratu Pecut Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 menjadi milik pelari pecut negara, Azreen Nabila Alias yang meraih pingat emas acara 100 meter (m) di Stadium Bandar Sisaket, petang semalam.
Malah, selain Azreen yang mencatat 11.88 saat (s), pingat perak turut menjadi milik seorang lagi atlet pecut negara, Nor Sarah Adi yang melakukan catatan 11.97s.
Gangsa dimenangi wakil tuan rumah, On Uma Chattha dengan catatan 12.41s.
"Saya tak jangka dapat menang hari ini kerana tidak berapa sihat sejak semalam. Saya cuma nak lakukan yang terbaik dan pegang kata-kata jurulatih.
"Jujurnya saya agak gementar kerana pernah kalah dengan atlet Thailand itu (On Uma) di Sukan Sea Hanoi, Vietnam pada Mei lalu. Jadi saya gembira dapat tebus semula kekalahan," kata Olimpian negara itu.
Namun, hasrat Malaysia untuk turut mengungguli gelaran raja pecut bagi kategori lelaki tidak kesampaian selepas wakil negara, Jonathan Nyepa dan Mohamad Raimi Mustaffa Kamal menamatkan saingan pada kedudukan keempat dan ketujuh.
Selain Azreen, atlet lontar peluru negara, Kamal Farhan A Rahman menyumbang satu lagi emas menerusi lontaran sejauh 16.47 meter (m), sekali gus menewaskan dua wakil tuan rumah.
Selain perak disumbangkan Sarah, terdapat lima lagi perak dirangkul atlet negara semalam membabitkan Nurul Hidayah Lukma (baling tukul besi), Mohamad Amirul Arif Mohd Azri (1,500m), Teoh Kim Chyi (400m), Muhammad Firdaus Mohamad Zemi (400m) dan R Kirthana (lompat kijang).
Satu gangsa pula dihadiahkan Savinder Kaur Joginder Singh menerusi acara 1,500m.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ratu-pecut-aug-2022 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|