|
AZNIL memuat naik gambar tidur di sebelah pingat emas angkat berat yang dimenanginya di Birmingham 2022, semalam. FOTO IG AZNIL BIDIN
Kuala Lumpur: Pengorbanan berbaloi buat atlet angkat berat negara, Aznil Bidin apabila emas diraihnya di Sukan Komanwel Birmingham 2022, semalam, tidak hadir dengan mudah kerana kebanyakan rutin hariannya tahun ini banyak dihabiskan di tempat latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).
Disebabkan tahun sangat sibuk buatnya, Aznil terpaksa berkorban dengan berlatih ketika di bulan Ramadan dan tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Bagaimanapun, hasil diperolehnya sangat lumayan, dapat mempertahankan emas dimenangi empat tahun lalu di Gold Coast 2018 selain memperbaharui rekod kebangsaan Mei lalu di Sukan Sea Hanoi dengan angkatan keseluruhan sebelum ini 285 kilogram (kg) di Pattaya, Thailand 2019 kepada 287kg.
Menerusi akaun Instagram, atlet kelahiran Kedah itu berkongsi perasaan puas apabila memuat naik gambar tidur bersebelahan dengan pingat emas berkenaan, awal pagi hari ini.
"Alhamdulillah dengan izin Allah..Untuk keluarga tercinta dan rakyat Malaysia," katanya selepas muncul juara acara 61kg pada saingan di National Exhibition Center (NEC) Birmingham.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui Aznil sebelum ini melakukan pelbagai pekerjaan lain selain menjadi atlet negara, termasuk menjual ikan di Sungai Besi.
"Saya pernah menjual ikan di Sungai Besi pada setiap hujung minggu, tetapi disebabkan tahun ini terlalu sibuk saya tidak dapat melakukan aktiviti berkenaan.
"Ikan itu diambil dari Kedah sebelum saya menjualnya kepada pembeli yang datang ke Sungai Besi," kata atlet berusia 28 tahun itu.
Aznil merangkul pingat emas selepas mengumpulkan angkatan sebanyak 285kg menerusi acara snatch dan clean & jerk.
Pingat perak dimenangi wakil Papua New Guinea, Morea Baru yang menghimpunkan 273kg manakala gangsa milik atlet India, Gururaja Gururaja.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ak-sempat-jual-ikan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|