View: 347|Reply: 0
|
[Kedah]
Tidak sanggup lagi hidup trauma, ketakutan
[Copy link]
|
|

Antara penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, akibat banjir di Mukim Kupang di sini. - Foto fail NSTP
BALING: Fenomena kepala air dan banjir yang berlaku di Kampung Iboi, awal Julai lalu memberi kesan kepada mangsa sehingga mereka berada dalam ketakutan setiap hari.
Mangsa mendakwa, keadaan di kawasan itu tidak selamat lagi kerana setiap hari hujan lebat berterusan sehingga air Sungai Kupang melimpah ke penempatan penduduk.
Setiap hari mereka dilanda keresahan dan berasa berdebar kerana tidak ada jaminan daripada pihak berwajib, kawasan penempatan mereka selamat.
Penduduk, Kassim Abdul Aziz, 67, dari Kampung Padang Empang, berkata penempatan mereka tidak selamat lagi kerana setiap kali hujan lebat, air melimpah masuk ke dalam rumah.
"Sampai bila kami nak hidup macam ini dan mencuci rumah setiap hari sehingga nak buat kerja lain pun tidak boleh.
"Kami perlu meneruskan hidup dengan selesa, bukan dalam ketakutan dan berharap kerajaan dapat membina penempatan baharu dengan segera," katanya.
Kassim berkata, penduduk yang terjejas dan masih trauma ingin berpindah segera kerana bimbang kejadian kedua berulang.
"Saya juga difahamkan ada kolam takungan air yang besar di atas Gunung Inas dan tidak tahu tahap keselamatan. Andai kata pecah habislah penduduk di beberapa kampung berdekatan," katanya.
Siti Hajar Said, 34, berkata sejak tragedi kepala air dan banjir, penduduk yang terjejas resah kerana tidak dapat mencari rezeki.
Katanya, rata-rata penduduk yang hanya bekerja kampung terjejas pendapatan kerana tidak dapat bekerja sekali gus wang saku turut terkesan.
"Buat masa sekarang, untuk makan harian tidak terputus kerana menerima bantuan daripada pelbagai pihak sejak kejadian itu. Cuma untuk wang saku dan perbelanjaan keluarga terputus termasuk persekolahan anak.
"Bayangkan hampir sebulan tidak ke kebun menoreh, jadi pendapatan turut terjejas malah setiap petang hujan turun sehingga berlaku banjir," katanya.
Siti Hajar berkata, kerajaan perlu membina penempatan baharu di kawasan yang lebih selamat.
"Jangan berlaku kejadian kali kedua yang lebih dahsyat baru nak ambil tindakan segera. Setiap hari, kami ketakutan dan tidak lena tidur apabila hujan turun," katanya.
Menurutnya lagi, anak yang bersekolah turut tidak selesa untuk belajar dan tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran kerana apabila rumah dilanda banjir, memakan masa untuk membersihkannya.
Katanya, sekiranya cadangan kerajaan untuk membina penempatan baharu menjadi kenyataan penduduk akan berasa selesa dan dapat meneruskan masa depan dengan lebih baik.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komuniti dan Keselamatan Kampung Iboi, Abu Hassan Samah, berkata kerajaan tidak boleh menangguh lagi untuk membina penempatan baharu kerana penduduk yang terjejas hidup tidak tenteram lagi.
"Kejadian buruk boleh berlaku pada bila-bila masa dan bimbang berlaku waktu malam. Malah, penduduk yang tinggal di pinggir tebing Sungai Kupang terumbang-ambing mencari rezeki dengan tidak menentu," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca mendung dan hujan pada petang, justeru penduduk dinasihatkan berwaspada dan segera berpindah ke tempat selamat sekiranya paras air sungai naik.
https://www.bharian.com.my/berit ... up-trauma-ketakutan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|