
Pemain Penang FC, Saravanan Thirumurugan (kiri) berebut bola bersama pemain Sarawak FC, Raja Imran Shah Raja Amin pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 antara Penang FC menentang Sarawak FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. NSTP/MIKAIL ONG
GEORGETOWN: Sarawak United mengubat duka dibelasah Johor Darul Ta'zim di laman sendiri Rabu lalu apabila menewaskan Penang FC 3-2 pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.
Pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah seawal minit kelima melalui tendangan padu pemain pertahanan, Nor Azizi Ramlee yang gagal diselamatkan penjaga gol, Khatul Anuar Jalil.
Penyerang Penang, Lucas Espindola da Silva kemudian menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan akrobatik menarik hasil hantaran jauh kapten pasukan, Rafael Vitor pada minit ke-17.
Sarawak bagaimanapun bangkit mencetak gol kedua melalui Uche Agba pada minit ke-28 yang sebelum itu melarikan bola secara solo dari tengah padang dan kemudiannya melakukan sepakan deras menggunakan kaki kirinya dari sudut atas terus membolosi gawang tuan rumah.
Tidak menunggu lama tuan rumah membuat serangan balas dengan pemain tengah Gopi Rizqi melakukan hantaran silang sebelum bola disambar pantas Lucas yang kemudiannya meledakkan gol penyamaan pada minit ke-30.
Penang turun dengan formasi 4-1-4-1 dengan menyaksikan tiga pertukaran posisi berbanding dalam perlawanan ketika ketika tewas kepada Melaka United Selasa lalu manakala Sarawak menggunakan formasi 5-4-1.
Bersambung babak kedua kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk memburu jaringan kemenangan.
Begitupun, Sarawak mengesahkan kemenangan mereka melalui sepakan percuma yang disudahkan Gonzalo Manuael Soto pada minit ke-84.