Jelas laporan, lelaki itu kini ditahan oleh Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD) dan didakwa atas pertuduhan penipuan, pemalsuan serta menggunakan dokumen rasmi palsu.
Suspek dilaporkan menyewa 12 kereta mewah dengan nilai gabungan kira-kira 76 juta baht (RM9.31 juta) dan kemudian bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menjual kenderaan tersebut kepada pelbagai pengedar kereta terpakai.
“CSD sudah mendapatkan keterangan tiga perkhidmatan kereta sewa yang menjadi mangsa.
“Mereka juga memfailkan aduan selepas kenderaan yang disewa tidak dikembalikan serta lelaki berkenaan gagal dikesan di mana-mana,” jelas laporan itu.
Dalam pada itu, menurut CSD, suspek akan meneliti pemilikan dan butiran kereta terlebih dahulu sebelum menggunakan rakan kongsi sebagai penjaminnya bagi mematuhi syarat perkhidmatan sewa dan bertindak menyewa kenderaan mewah tersebut.
“Mereka kemudian akan menggunakan maklumat itu untuk membuat kertas kerja palsu yang menyenaraikan diri mereka sebagai pemilik bagi membolehkan kereta itu dijual,” jelasnya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat memaklumkan pihaknya berjaya merampas sembilan daripada 12 kereta mewah yang disewa dan kemudian dijual.
Katanya, mereka kini menyiasat sama ada pengedar kereta yang membeli kenderaan mewah disewa itu turut sama terlibat dalam jenayah terbabit.
“Kami juga sedang siasat sama ada mereka mengetahui dokumen itu sebenarnya palsu dan suspek bukan pemilik asal kereta yang dijual kepadanya,” jelasnya.
Selain itu, Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat memberitahu beberapa kereta mewah itu mungkin sudah dijual di pasaran gelap.