MOSCOW: Russia melancarkan serangan secara besar-besaran di bandar pelabuhan Mykolaiv, selatan Ukraine sehingga mengorbankan seorang pemilik syarikat pengeluar dan pengeksport bijirin terbesar negara itu.
Dengan ibu pejabatnya terletak di Mykolaiv, Nibulon mengkhususkan dalam pengeluaran dan eksport gandum, barli dan jagung selain mempunyai armada dan limbungan kapal sendiri.
Presiden Volodymyr Zelensky menyifatkan kematian Vadatursky sebagai ‘kehilangan besar bagi seluruh Ukraine’.
Malah, beliau berkata, ahli perniagaan itu dalam proses membina sebuah pasar bijirin moden yang melibatkan rangkaian terminal pemindahan kapal dan lif.
Datuk Bandar, Oleksandr Senkevych memaklumkan tiga orang juga tercedera dalam serangan di Mykolaiv. Katanya, sebanyak 12 peluru berpandu mengenai beberapa rumah dan fasiliti pendidikan.
Sebelum ini, Senkevych menyifatkan serangan itu sebagai `paling besar’ yang pernah dilancarkan ke atas bandar tersebut sepanjang tempoh lima bulan dilanda perang.
Gabenor Dnipropetrovsk, Valentyn Reznichenko menerusi Telegram memaklumkan lebih 50 roket membedil kawasan perumahan di bandar selatan Nikopol pada pagi Ahad.
Katanya, seorang penduduk cedera dalam serangan tersebut.
IBU PEJABAT ARMADA LAUT HITAM DISERANG
Dalam pada itu, Datuk Bandar, Mikhail Razvozhayev berkata, tentera Ukraine menyerang ibu pejabat armada Laut Hitam di Sevastopol pada awal Ahad.
Katanya, lima orang cedera dalam serangan itu apabila pesawat yang dianggap sebagai dron terbang ke kawasan di ibu pejabat tersebut.
PENDUDUK DIARAH TINGGALKAN DONETSK
Sementara itu, Zelensky mengarahkan semua orang awam yang masih tinggal di timur wilayah Donetsk di bawah kawalan
Ukraine agar berpindah dengan segera.
Zelensky dalam satu ucapan dari Kyiv memaklumkan pertempuran di wilayah itu semakin sengit.
Wilayah itu menyaksikan pertempuran hebat di tengah-tengah kemaraan tentera Russia yang berjaya mengawal sebahagian besar kawasan itu.
“Kami akan menggunakan semua cara yang ada untuk menyelamatkan seramai mungkin nyawa dan mengehadkan keganasan Russia sebanyak mungkin,” katanya.
Ini bukan kali pertama pihak berkuasa Ukraine mengarahkan penduduk untuk meninggalkan kawasan tersebut.
Pihak berkuasa Ukraine menganggarkan antara 200,000 dan 220,000 orang awam masih tinggal di kawasan tak berpenghuni di Donetsk.
Satu notis perpindahan daripada kerajaan, memberi amaran bahawa musim sejuk yang akan datang bakal memburukkan lagi keadaan terutamanya bagi golongan kanak-kanak.
“Golongan itu perlu dipindahkan dengan segera, anda tidak boleh meletakkan mereka dalam bahaya besar pada musim sejuk tanpa beberapa kemudahan seperti pemanas dan lampu,” kata Kementerian Penyepaduan Semula Wilayah Diduduki Sementara.
Zelensky membuat gesaan itu ketika Russia menjemput pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah untuk menyiasat kes kematian 50 tawanan perang Ukraine di bahagian lain wilayah Donetsk yang dikuasai pemisah yang disokong Russia.
Pasukan tentera itu terbunuh dalam keadaan tidak jelas semasa serangan ke atas penjara di Olenivka, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain.