PENDANG: Paras air Sungai Pendang menunjukkan peningkatan melebihi paras amaran 2.5 meter berikutan hujan lebat, sejak dua hari lalu.
Setakat ini, dua rumah penduduk di Klang Taugeh, di sini dinaiki air namun keadaan masih terkawal.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff, berkata anggotanya melakukan pemantauan di empat lokasi kampung berhampiran Sungai Pendang hari ini untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini paras air sungai masih terkawal walaupun Sungai Pendang sudah melepasi paras amaran.
"Anggota APM Pendang melakukan pemantauan di Seberang Pendang, Kampung Banggol Kambing, Kilang Taugeh dan Belakang Balai Bomba Sukarela pada jam 1 hingga 2 petang tadi.
"Setakat ini, tiada hujan dilaporkan berlaku sejak semalam namun cuaca masih mendung.
"Anggota APM Pendang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya hujan lebat lebih dua jam terutama di kawasan berisiko banjir," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yuslina berkata, APM Pendang turut mengingatkan kepada penghuni kediaman agar bersiap sedia jika berlaku kecemasan.