KEPALA BATAS: Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) menggesa kerajaan negeri membatalkan Projek Taman Perindustrian (PTP) di Bertam, di sini selain pembatalan pembinaan
kuarters penginapan berpusat (CLQ).
Pengerusi LEKAS, Zikrullah Ismail, berkata pihaknya menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk tidak meneruskan cadangan projek CLQ, namun berharap projek PTP juga dibatalkan.
Katanya, ia memandangkan proses kelulusan kajian Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) bagi PTP sebelum ini meragukan apabila kelulusan dibuat hanya membabitkan 411 responden secara tertutup tanpa pendengaran awam.
"Sedangkan petisyen bantahan PTP merangkumi 1,662 tandatangan penduduk lebih mempunyai kredibiliti dan telah dihantar kepada
beberapa agensi bertanggungjawab.
"Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut memainkan peranan sebagai Menteri Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga digesa untuk meneliti kelemahan peraturan-peraturan SIA melalui bidang kuasa mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), khususnya melalui pindaan pada 2017 iaitu Akta A1522 .
"Kelemahan jelas terbukti melalui proses kelulusan SIA tidak telus bagi PTP Bertam," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zikrullah berkata, penduduk sekitar Bertam masih belum terlambat bagi semua pihak memainkan peranan masing-masing memperbetul keadaan dengan membatalkan cadangan PTP berindustri ringan dan sederhana serta menambahbaik proses SIA.
"Ini adalah bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduk-penduduk setempat dapat dipelihara.
"Tahniah atas komitmen gigih badan bertindak dan gabungan penduduk Bertam sebelum ini yang memastikan pembangunan lestari dan bandar berdaya huni yang baik diutamakan untuk negeri kita," katanya.
Semalam, kerajaan negeri mengumumkan pihak pemaju, Lestari Duta bersetuju membatalkan pembinaan asrama warga asing seperti yang terkandung dalam pelan terdahulu.
Pembatalan dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada pemegang taruh (stakeholders) termasuk penduduk berjiran dan jabatan-jabatan teknikal terlibat.
Bagaimanapun, pemaju akan memfokuskan pembinaan kilang berteknologi tinggi dengan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sebelum ini, penduduk dari 11 taman perumahan sekitar Bertam, membantah cadangan pembinaan CLQ berhampiran Taman Mekar Sari, di Bertam berikutan bimbang wujud pelbagai masalah sosial dan kesihatan di kawasan itu kelak.
Projek pembangunan itu didakwa dalam kelulusan mendapatkan kebenaran merancang dan mempunyai dua pakej.
Pakej pertama membabitkan cadangan membina 45 unit plot industri dan tiga blok asrama pekerja 10 tingkat, manakala pakej kedua membabitkan cadangan membina 99 unit plot industri dan empat blok asrama pekerja 10 tingkat yang keseluruhannya berjumlah 977 unit.