|
Nur Farzana mahu cipta kejutan pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022. - NSTP/Mohd Amin
Seremban: Jaguh Muay Thai cilik Negeri Sembilan, Nur Farzana Husna Shahrelamdan, berhasrat mencipta kejutan pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, bermula hari ini hingga 20 Ogos.
Pada kejohanan sama tiga tahun lalu di Turkiye, petinju berusia 15 tahun ini berjaya meraih pingat gangsa.
"Saya berharap dapat meraih pencapaian lebih baik pada kejohanan kali ini selepas berjaya membawa pulang pingat gangsa di kejohanan sama pada 2019.
"Kelebihan bersaing di negara sendiri diharap memberi tuah kepada saya untuk membantu kontinjen negara mencatat keputusan cemerlang.
"Apapun, saya melihat cabaran kali ini lebih berliku kerana ramai petinju muda yang hebat dari luar negara," katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri Sembilan di Majlis Sukan Negeri (MSN) di Paroi, malam tadi.
Majlis penyerahan bendera disempurnakan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Datuk Sabuddin Sani.
Nur Farzana Husna yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan King George V Seremban bakal mengambil bahagian dalam acara 51 kilogram (kg) bagi kategori umur 14-15 tahun.
"Saya sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan ini dan yakin dapat melakukan persembahan terbaik dengan sasaran meraih pingat," kata atlet yang bernaung di bawah Kelab Jengking Muay Thai Negeri Sembilan (KJMTNS).
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Muay Thai Negeri Sembilan (PMTNS), Borhan Budong berkata, seramai 24 petinju Negeri Sembilan berusia dari 8 hingga 17 tahun terbabit dalam kejohanan itu.
Menurutnya, Nur Farzana Husna adalah antara petinju harapan yang berupaya meraih pingat pada kejohanan kali ini.
https://www.bharian.com.my/sukan ... a-tekad-raih-pingat |
|