|
YANGON: Mahkamah junta Myanmar hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, kerana rasuah.
Perkara itu disahkan sumber yang rapat dengan kes terbabit, namun sumber itu enggan namanya dikenali kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.
"Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara enam tahun di bawah empat pertuduhan antirasuah," katanya.
Suu Kyi berada dalam tahanan tentera sejak rampasan kuasa menggulingkan kerajaannya pada Februari tahun lalu, menjerumuskan negara Asia Tenggara itu ke dalam kekacauan.
Dia kelihatan dalam keadaan sihat dan tidak membuat sebarang kenyataan berikutan hukuman terbaharunya, tambah sumber itu.
Pemenang Hadiah Nobel berusia 77 tahun itu sebelum ini sudah pun dijatuhi hukuman penjara 11 tahun kerana rasuah, menghasut terhadap tentera, melanggar peraturan COVID-19 dan melanggar undang-undang telekomunikasi.
Dia masih menghadapi pelbagai tuduhan jenayah lain, termasuk melanggar akta rahsia rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya, serta boleh dipenjarakan selama beberapa dekad jika sabit kesalahan atas semua tuduhan.
Wartawan dihalang daripada menghadiri perbicaraan mahkamah dan peguam Suu Kyi dilarang bercakap kepada media.
Lebih 2,000 orang terbunuh dan lebih 17,000 ditangkap dalam tindakan keras terhadap perbezaan pendapat sejak rampasan kuasa, menurut kumpulan pemantau tempatan dikenali 'Assistance Association for Political Prisoners'.
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2022/08/988803/suu-kyi-dihukum-penjara-6-tahun-kerana-rasuah |
|