|

Keadaan gerai di astaka Taman Perindustrian Bayan Lepas, yang diarah tutup menjelang hujung bulan ini. - Foto NSTP/ZUHAINY ZULKIFFLI
GEORGETOWN: Seramai 16 peniaga makanan di astaka Taman Perindustrian Bayan Lepas, di sini, mempunyai tempoh 15 hari saja lagi untuk mengosongkan gerai masing-masing berikutan lokasi itu akan diambil alih pemaju.
Namun, apa yang lebih membimbangkan peniaga ialah tiada perjanjian dibuat setakat ini, malah pampasan yang dijanjikan pemaju juga belum diperoleh.
Peniaga, Mohd Kamal Nordin, 38, berkata, sebelum ini mereka adalah peniaga gerai di tepi jalan sebelum ditawarkan unit gerai sementara di astaka terbabit, yang disewa daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Bagaimanapun, katanya, pada Julai lalu, mereka dimaklumkan oleh individu yang mendakwa sebagai 'orang tengah', bahawa tapak astaka itu sudah dibeli pemaju dan peniaga perlu mengosongkan gerai terbabit sebelum 31 Ogos ini.
"Tempoh yang diberi sudah semakin hampir, namun tiada pampasan diberi dan lebih membimbangkan apabila tiada sebarang perjanjian dibuat.
"Kini, kami terima maklumat mengenai ada dua peniaga sudah tiada dalam senarai penerima pampasan dan saya bimbang jika pemaju mungkir janji," katanya ketika ditemui di Gelugor, di sini, hari ini.
Difahamkan, peniaga terbabit dijanjikan sehingga RM40,000 mengikut keluasan gerai masing-masing dan pampasan itu adalah wang ihsan daripada pemaju bagi membolehkan peniaga berpindah ke lokasi baharu.
Sementara itu, peniaga makanan, G Sugumaran, 47, berkata, beliau sudah menutup gerainya dan bersedia bagi berpindah mengikut tempoh yang diberi.
Namun, beliau tidak dapat berpindah ke gerai lain kerana tidak mempunyai wang bagi menyewa premis di lokasi baharu.
"Memang kami mahu pindah tetapi jika tidak bayar (pampasan), bagaimana hendak keluar (pindah) kerana ia perlukan kos terutama bagi menyewa gerai baharu," katanya.
Terdahulu, Mohd Kamal dan Sugumaran ditemui di Pejabat Parlimen Bayan Baru bersama 14 lagi peniaga, bagi membuat aduan berhubung perkara itu kepada Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, menerusi Pembantu Khasnya, Chan Boon Aun.
Sementara itu, Boon Aun berkata, susulan aduan itu, pihaknya akan bertemu dengan pemaju dalam masa terdekat.
"Kita mahu selesaikan segera kerana tempoh yang diberi semakin hampir dan pemaju juga perlu mengikut prosedur.
"Kita dapati, tiada komunikasi dua hala antara pemaju dan peniaga menyebabkan kedua-dua pihak tidak mendapat maklumat yang jelas," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... lum-terima-pampasan |
|