|
Pelumba TSG, Jambaljamts Sainbayar (tengah) meraikan kejayaan memenangi GP Develi di Turkiye, semalam. - Foto ihsan Instagram terengganupolygoncyclingteam
KUALA LUMPUR: Pelumba import Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar membuktikan keunggulannya apabila menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Develi di Turkiye semalam, sekali gus melebarkan jumlah podium pasukan bertaraf benua itu musim ini.
Pelumba dari Mongolia berusia 25 tahun itu menguasai perlumbaan sehari bertaraf 1.2 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sejauh 111.8 kilometer dengan masa dua jam 28 minit 48 saat menerusi henjutan mantap ke garisan penamat.
Pemenang tempat kedua Vitalii Buts dari Sakarya BB Pro Team dan Hamza Yacine dari pasukan kebangsaan Algeria yang menghuni tangga ketiga turut mencatat masa sama dengan Sainbayar ketika mereka bersaing sengit melakukan kayuhan bertenaga untuk memburu kemenangan.
Seorang lagi import TSG dari Algeria, Youcef Reguigui berakhir di tangga keenam manakala Metkel Eyob (Eritrea) di tangga ke-16, Mohd Zamri Saleh (20), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (26) dan Mohd Harrif Saleh di tempat ke-48.
Pengurus TSG, Mohamed Saiful Anuar Aziz ternyata berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang meneruskan rentak gemilang di bumi Turkiye ketika mereka meneruskan misi memburu seberapa banyak mata UCI bagi mengekalkan status pasukan itu sebagai yang terbaik di Asia.
"Pada perlumbaan Grand Prix Develi semalam kami memang menjangkakan perlumbaan berakhir dalam kelompok besar memandangkan laluan landai dan kami menurunkan Harrif selaku pelumba pecut tetapi pemecahan berlaku dan tiga daripada pelumba kami berada dalam kelompok hadapan.
"Bagi pecutan terakhir, Youcef dan Metkel membuat 'lead out' untuk membolehkan Elo (Sainbayar) melakukan pecutan ke garisan penamat. Elo berada dalam keadaan bagus kerana dia baru sahaja memenangi Kejohanan Kebangsaan Mongolia (ujian masa individu) sebelum datang ke Turkiye," katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, pelumba import TSG dari Ukraine, Vitalii Budiak turut menjejak podium apabila menghuni tangga ketiga GP Kapuzbasi selepas tewas di tangan Mikhailo Kononenko dari Sakarya BB Pro Team dan Daniil Marukhin (Almaty Cycling Team).
"Di Kapuzbasi, enam orang pelumba membuat pemecahan pada saat akhir termasuk Anatolii dan dia berjaya menamatkan pelumbaan di tangga ketiga," katanya.
Budiak turut memenangi GP Mediterranean (6 Mac), GP Gundogmus (20 Mac) dan GP Kayseri (24 Julai) selain penamat podium pada GP Alanya (5 Februari).
Saiful Anuar berkata, pasukan itu akan menyertai perlumbaan Tour of Sakarya dari 25 hingga 28 Ogos ini sebelum pulang ke Malaysia bagi membuat persiapan menghadapi Tour of Iran (28 September-3 Oktober) dan Tour of Taiwan (2-6 Oktober).
https://www.bharian.com.my/sukan ... p-develi-di-turkiye |
|