Georgetown: "Maaf, kami tidak mahu mengulas (lanjut) kerana masih terkejut dengan kejadian ini. Beri kami ruang."
Itu kata ibu kepada remaja perempuan berusia 13 tahun yang ditemukan maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah di sini, hari ini.
Wanita yang enggan dikenali itu dilihat hadir bersama suami dan empat anaknya di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini bagi menunggu urusan bedah siasat.
Katanya, kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul malam tadi, dan anaknya tidak menunjukkan apa-apa perubahan.
"Kami baru pulang daripada mengerjakan haji bulan lalu dan ini dugaan buat kami suami isteri, " katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan mengenai mangsa yang ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian bumbung parkir di kondominium berkenaan.
Kehilangan mangsa disedari ayahnya pada 5.30 pagi sebelum menemukan mangsa dalam keadaan terbaring di bahagian bumbung parkir kenderaan di kondominium berkenaan sejam kemudian.