Georgetown: Seramai 50 nelayan daripada Unit Nelayan Sungai Gelugor dan Unit Nelayan Batu Uban tidak ketinggalan menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan dengan menyertai Konvoi Sampan Kibaran Jalur Gemilang di sini, hari ini.
Konvoi membabitkan lebih 30 bot dan perahu itu menyusuri Jambatan Pulau Pinang sebelum singgah ke Pulau Kazambo.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya bangga dengan semangat patriotik dan kesungguhan komuniti nelayan berkenaan dalam mempamerkan rasa cinta terhadap negara.
"Komuniti nelayan di sini sangat aktif selain mereka turut memainkan peranan penting dalam membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa. APMM berterima kasih dengan sikap prihatin mereka.
"Hubungan baik dan persefahaman yang terjalin membantu kami menangani serta menyelesaikan apa sahaja isu dan masalah yang berlaku di laut," katanya yang turut meluangkan masa menyertai konvoi berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Unit Nelayan Sungai Gelugor Ali Hikal Saad menyifatkan acara tahunan itu begitu bermakna selepas dua tahun ia terhenti akibat Covid-19.
"Alhamdulillah, kami bersyukur dapat berkumpul beramai-ramai bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 selain cuaca dan suasana laut juga amat baik untuk menjayakan aktiviti ini," katanya.