Georgetown: Sebanyak 119 motosikal disita kerana disyaki terbabit dalam aktiviti samseng jalanan menerusi operasi dan pemantauan yang dijalankan polis dengan pelbagai agensi sekitar negeri ini sejak 17 Julai lalu.
Menurut statistik Polis Pulau Pinang, sebanyak 25 penunggang motosikal ditahan dan 119 motosikal turut di sita sepanjang tempoh berkenaan dan 712 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Mengikut statistik berkenaan juga, sebanyak 26 operasi sudah dijalankan Polis Pulau Pinang dengan pemantauan sebanyak 18 kali.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi dan pemantauan terus dijalankan bagi mengekang kegiatan lumba haram dan aktiviti rempit susulan insiden kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, pada Julai lalu.
Katanya, sepanjang tempoh itu, tiada penganjuran perlumbaan haram yang besar di negeri ini tetapi hanya kes kecil membabitkan penunggang mempamerkan aksi berbahaya di jalan raya.
"Pemantauan turut dilakukan bersama agensi lain bagi memastikan tidak ada lagi kegiatan seumpamanya.
"Sejak kejadian itu, kita tidak dapat apa-apa maklumat berlaku perlumbaan haram yang besar, cuma ada beberapa kes membabitkan melakukan aksi berbahaya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shuhaily Mohd Zain pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, penunggang yang ditahan juga sudah dikenakan tindakan reman.
"Ia bukan tindakan kejam tetapi bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa aktiviti itu bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya lagi.
Terdahulu Harian Metro melaporkan mengenai kemalangan pada 17 Julai lalu, yang meragut tiga nyawa di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram sebelum hilang kawalan sebelum merempuh antara satu sama lain.