GEORGETOWN: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan menjalankan sesi temu bual dengan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di negeri berkenaan bagi mendapatkan gambaran berhubung keutamaan dan aspirasi masing-masing serta sama ada mereka ingin terus dipertimbang sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata sesi temu bual bagi calon baharu yang berpotensi telah dijalankan bulan lepas dan jumlah kekosongan yang boleh diisi oleh muka baharu bergantung kepada bilangan penyandang yang sudi memberi laluan.
"Kami akan sentiasa memperkenal muka baharu pada setiap pilihan raya umum namun jawapan (mengenai berapa jumlahnya) hanya boleh diberikan apabila tiba masanya," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata sesi temu bual dengan penyandang ADUN tidak memerlukan masa yang lama dan boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Beliau juga berkata Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang telah mengadakan mesyuarat malam tadi bagi membincangkan kepimpinan baharu susulan perubahan dalam barisan pemimpin negeri PKR.
"Kita juga ada berbincang isu persiapan PRU termasuk mengadakan jelajah PH pada bulan Oktober dan November ke semua kawasan yang akan kita tandingi serta menganjurkan konvensyen negeri untuk menyemarakkan semangat dalam kalangan ahli dan pimpinan PH negeri bagi menghadapi PRU.
"Satu kenyataan akan dikeluarkan oleh PH negeri tentang perkara ini," katanya. – BERNAMA