|
HARIFF menamatkan perlumbaan peringkat pertama saingan Tour de Taiwan hari ini di kedudukan kedua. FB HARIFF SALEH
PELUMBA pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamed Harrif Saleh memulakan saingan pada perlumbaan Tour de Taiwan dengan aksi cemerlang apabila menamatkan peringkat pertama semalam di tempat kedua.
Pusingan pertama dengan jarak perlumbaan 83.2 kilometer (km) menyaksikan Harrif melintasi garisan penamat menerusi catatan masa 1 jam 44 minit 46 saat di belakang pemenang, Hayato Okamoto dari pasukan Aisan Racing.
Walaupun bermula langkah kanan pada perlumbaan bertaraf Jelajah itu, namun Harrif mengakui dia berdepan cabaran sukar sepanjang saingan memandangkan sudah lama tidak menyertai pertandingan seperti itu.
“Alhamdulillah keputusan yang sangat baik pada perlumbaan hari ini (semalam) tetapi secara jujur, ia satu perlumbaan sukar memandangkan saya sudah lama tidak berlumba seperti hari ini (semalam).
“Memang rasa agak lain sepanjang perlumbaan tetapi nasib baik rakan-rakan banyak membantu dan ia beri peluang kepada saya untuk bersaing di kelompok hadapan,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Pada masa sama, pelumba berusia 34 tahun itu berharap dia mampu menampilkan kayuhan lebih bertenaga pada peringkat kedua dari Taoyuan City Hall ke Jiaobanshan Park hari ini dengan jarak 120.59km.
“Secara jujur, kaki saya boleh dikatakan masih berat lagi. Bagaimanapun, Insya-Allah untuk perlumbaan seterusnya, saya sedia untuk tampilkan aksi lebih baik untuk pasukan TSG,” ujar pelumba kelahiran Terengganu itu.
Sebagai rekod, Tour de Taiwan memiliki enam peringkat perlumbaan yang bermula semalam dan dijadualkan tamat di Dapeng Bay pada 6 Oktober ini dengan jarak keseluruhan sejauh 668.59km. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2022/10 ... -di-tour-de-taiwan/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|