|
QUARTARARO mengakui bergelut beraksi di litar basah apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-17 di GP Thailand kelmarin. – AFP
BURIRAM – Pelumba Perancis, Fabio Quartararo dilihat tertekan selepas kegagalannya mengutip sebarang mata pada Grand Prix (GP) Thailand kelmarin membuatkan perebutan gelaran dunia MotoGP 2022 terbuka luas.
Juara dunia MotoGP 2021 dikatakan bergelut ketika bersaing di litar basah di Buriram, Thailand sekali gus sekadar menamatkan saingan tempat ke-17.
Pelumba KTM, Miguel Oliveira mencatat kemenangan di Buriram, manakala dua pelumba Ducati, Jack Miller dan Francesco ‘Pecco’ Bagnaia menamatkan saingan podium kedua serta tempat ketiga.
Keadaan tersebut menyebabkan Quartararo dilaporkan membatalkan sesi bersama media dan hanya mengeluar kenyataan selepas berakhir perlumbaan tersebut.
“Kami tidak mempunyai banyak masa ketika hujan mula membasahi trek perlumbaan. Pusingan pertama perlumbaan benar-benar rumit.
“Saya bersaing dengan Jack Miller di selekoh pertama dan ia menjadi lebih teruk. Saya cuba mencari rentak terbaik, namun tidak berjaya.
“Saya minta maaf kepada peminat di Thailand khususnya kerana ketika itu saya harap dapat berlumba dengan lebih baik di hadapan mereka. Apapun, kami akan cuba bangkit di Australia nanti,” katanya dalam satu kenyataan.
Selepas saingan di Thailand, Quartararo yang mengumpul 219 mata diikuti rapat Pecco dengan 217 mata, manakala, Aleix Espargaro (Aprilia) di tangga ketiga dengan 199 mata keseluruhan.
– AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2022/10 ... mula-rasai-tekanan/ |
|