|

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib (dua dari kanan) menerima cendera hati daripada Presiden Persatuan Karom Malaysia, Samohan Md Kassim (dua dari kiri) selepas merasmikan Kejohanan Karom Dunia Kali Kelapan di De Baron Resort Langkawi. NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Pulau peranginan ini terus mencatat peningkatan kemasukan pengunjung apabila kira-kira 1.8 juta pelancong dicatat bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata lonjakan itu agak besar berbanding unjuran awal pihaknya sebelum ini.
"Secara purata, kira-kira 200,000 pelancong melawat Langkawi setiap bulan, malah catatan bulan lalu adalah tertinggi untuk tahun ini iaitu seramai 252,000 orang.
"Sehingga akhir September, sejumlah 1.8 juta pelancong masuk ke Langkawi dan angka ini membuktikan kedatangan pelancong tidak berkurangan seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Karom Dunia Kali Kelapan di sini, malam tadi.
Nasaruddin berkata, data kemasukan pelancong dikeluarkan LADA adalah sah dan diguna pakai pelbagai pihak kerana pengumpulan maklumat berkaitannya dibuat secara harian.
"Data kemasukan pelancong dikumpul secara harian membabitkan tiga pintu masuk utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Jeti Kuah dan Dermaga Tanjung Lembung.
"Pelancong diyakini terus mengunjungi Langkawi sepanjang baki dua bulan terakhir tahun ini, untuk membantu kita mencapai sasaran 2.5 juta pelancong," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Kejohanan Karom Dunia Kali Kelapan yang berlangsung selama lima hari berakhir Jumaat ini disertai 250 peserta mewakili 18 negara.
"Kejohanan ini bermula pada 1991 di Colombo, kini bersambung di Langkawi, setelah Birmingham, United Kingdom menjadi tuan rumah kali ketujuh pada 2016," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... n-18-juta-pelancong |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|