
Kehadiran lelaki memakai kostum robot watak Optimus Prime dalam filem Transformers seberat 30 kg mengujakan orang ramai di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam, hari ini. NSTP/Aminah Yusof
BUKIT MERTAJAM: Kehadiran seorang lelaki mengenakan pakaian robot watak Optimus Prime mengujakan orang ramai di pusat penamaan calon, di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam, hari ini.
Muhammad Syukur Mohd Patthi, 28, berkata dia mengambil masa kira-kira sejam demi memakai kostum seberat 30 kilogram (kg) itu dengan dibantu dua rakannya dan berada di pusat penamaan calon terbabit sejak jam 8.30 pagi tadi.
"Tujuan saya hadir di sini bertujuan menggamatkan lagi suasana dan kostum yang saya pakai ini juga sebagai simbolik reformasi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
"Hendak kata lemas tidak juga sebab saya sudah biasa dan kostum ini dibuat dengan kos mencecah RM8,000 menggunakan material Eva Kopolimer yang lebih tahan lasak berbanding plastik," katanya kepada media.
Terdahulu, kerusi Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH yang juga penyandang, Nurul Izzah Anwar, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (BN), Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang).