|
HAMILTON tersenyum selepas disahkan sebagai warganegara kehormat Brazil. FOTO AFP
Brasilia: Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton dinamakan sebagai warganegara kehormat Brazil oleh ahli Kongres, malam tadi.
Dia kemudian mendedikasikannya kepada idolanya ketika kecil iaitu juara dunia F1 tiga kali dari Brazil, mendiang Ayrton Senna.
"Saya rasa seperti seorang daripada anda sekarang," kata pemandu Mercedes itu di Kongres yang penuh dengan peminatnya di Brasilia, beberapa hari sebelum perlumbaan Grand Prix Brazil di Sao Paulo pada 11 November ini.
Hamilton menggembirakan rakyat Brazil apabila mengibar bendera negara itu dari jentera Mercedes ketika membuat pusingan perlahan selepas memenangi perlumbaan di litar Interlagos di Sao Paulo, tahun lalu dan kemudian membawa bendera ke podium.
Jun lalu, Kongres meluluskan untuk mengiktiraf pemandu berusia 37 tahun itu sebagai warganegara kehormat seperti dicadangkan ahli Kongres, Andre Figueiredo selepas pemandu Britain itu menang GP Brazil 2021 iaitu kemenangan ketiga baginya.
Hamilton sah bergelar juara dunia kali pertama di Interlagos pada 2008 dengan menewaskan pemandu Ferrari kegemaran tempatan, Felipe Massa dengan memintasnya di selekoh terakhir di pusingan terakhir pada perlumbaan terakhir musim itu.
Sambil tersenyum, Hamilton yang memakai sut biru laut, menerima pingat perundangan Brazil, diploma dan membuat ucapan dengan berterima kasih kepada penyokongnya dan memberi penghormatan kepada Senna.
"Saya memiliki banyak kenangan hebat di di Brazil," kata Hamilton.
"Terutama sekali pada 2021. Saya sedar, ramai yang bersorak ketika saya mengecapi antara detik paling indah dalam hidup saya. Saya tidak sama untuk kita sama-sama terus mencipta kecemerlangan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ara-kehormat-brazil |
|