View: 295|Reply: 0
|
[Kedah]
Semoga Allah permudahkan urusan adik Nurul Amelia
[Copy link]
|
|

MASITA Wahab bersama Nurul Amelia yang menghidap kanser saraf ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Berapit, Tikam Batu. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
Sungai Petani: Hati ibu mana mampu menahan pilu dan sedih apabila terpaksa mendengar rintihan anaknya yang menanggung derita akibat menghidap kanser saraf tahap empat.
Ketika usia yang baru mencecah lima tahun, tubuh adik Nurul Amelia Ramadhania Khairul Azman juga sudah mampu menerima rawatan radioterapi yang sepatutnya dilakukan sebanyak 22 kali namun terpaksa dihentikan ketika ia berbaki sembilan rawatan lagi.
Malah, doktor dengan berat hati terpaksa memaklumkan kepada ahli keluarga supaya membawa pulang Nurul Amelia ke rumah kerana tiada lagi rawatan yang boleh dijalankan terhadap kanak-kanak itu berikutan keadaannya.
Ibunya, Masita Wahab, 45, berkata anak bongsu daripada enam beradik itu dikesan menghidap kanser pada 2020 lalu ketika dia berusia tiga tahun selepas mengalami demam.
"Ketika itu, demam dia tidak kebah. Seminggu selepas itu, saya bawa dia mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum dilakukan ujian darah," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Berapit, Tikam Batu dekat sini.
Menurut Masita, keadaan Nurul Amelia ketika itu semakin teruk dengan perut membesar seperti wanita mengandung selain matanya lebam bahagian atas dan bawah.
"Doktor kemudian membuat ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan ketika itu kelihatan ada ketumbuhan berhampiran perut yang turut merebak ke paru-paru.
"Anak kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dan selepas itu baru diketahui yang dia menghidap kanser saraf tahap empat yang sudah merebak ke tulang," katanya.
Menurutnya, selepas disahkan menghidap kanser doktor memulakan rawatan dengan membuat kemoterapi sebanyak lapan kali sebelum ketumbuhan itu dilihat semakin kecut.
"Anak kemudian menjalani pembedahan di perut dan diberi rehat selama dua minggu di rumah sebelum menjalani sesi kemoterapi sebanyak lapan kali lagi.
"Bagaimanapun, sel kanser kembali aktif dan kali ini ia menyerang hingga ke otak membuatkan dia tidak berselera makan serta menjadi lemah," katanya.
Masita berkata, dia diberi pilihan sama ada untuk melakukan pembedahan di kepala anaknya yang boleh mengundang pelbagai risiko selepas itu atau melakukan rawatan radioterapi.
"Saya memilih untuk membuat rawatan radioterapi yang sepatutnya dilakukan 22 kali namun anak mengadu sakit ketika 13 rawatan dilakukan dan doktor yang membuat pemeriksaan mendapati ia (kanser) sudah merebak ke kaki.
"Doktor akhirnya terpaksa menghentikan rawatan dan meminta supaya membawa anak pulang selain turut membekalkan ubat morfin kerana Nurul Amelia langsung tidak boleh memijak lantai," katanya.
Menurutnya, walaupun diberitahu yang anaknya tidak mampu bertahan lama namun dia tetap tidak berputus asa dengan berdoa selain menjaga Nurul Amelia dengan penuh kasih sayang.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Masita di talian 013-5712230.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-adik-nurul-amelia |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|