Bukit Mertajam: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bukit Mertajam, Tan Yang Pang disahkan positif Covid-19, pagi ini.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Yang Pang atau mesra disapa Ah Pang yang memuat naik hantaran keputusan ujian kendiri Covid-19 di laman Facebook miliknya.
Yang Pang berkata, beliau memohon maaf terhadap pengundi di Bukit Mertajam dan akan menjalani kuarantin kendiri di rumah.
"Minta maaf kepada pengundi-pengundi di Bukit Mertajam kerana pagi ini saya telah dikesan positi Covid-19.
"Walaupun saya menjalankan kuarantin kendiri di rumah, kempen saya akan diteruskan oleh rakan perjuangan Team Ah Pang. Saya meminta maaf kerana tidak dapat edar risalah dengan tangan sendiri.
"Rakan Team Ah Pang juga akan memantau keadaan paras air di kawasan-kawasan banjir. Team Ah Pang akan cuba sedaya upaya untuk menghulur bantuan kepada mangsa. Jika perlu bantuan boleh hubung bilik operasi 04-5394003," katanya dalam hantaran itu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Yang Pang menentang Steven Sim yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Steven Koh daripada Perikatan Nasional (PN).