|
BINOTTO dilantik sebagai bos Ferrari pada Januari 2019. FOTO Reuters
Milan: Ferrari menafikan 'laporan tidak berasas' di Itali menyatakan bos pasukan Formula Satu (F1), Mattia Binotto akan digantikan dengan bos Sauber, Frederic Vasseur selepas hujung musim ini.
Akhbar Corriere della Sera dan Gazzetta dello Sport menyatakan Vasseur dikatakan akan mengambil alih pasukan pada Januari.
"Mengenai spekulasi dalam beberapa media berhubung kedudukan prinsipal pasukan Scuderia Ferrari, Mattia Binotto, Ferrari menegaskan semua khabar angin itu langsung tidak berasas," kata pasukan itu.
Ferrari menang empat perlumbaan pada 2022, tetapi janji mereka di awal musim berkecai kerana masalah mekanikal, kesilapan strategi serta kesilapan pemandu.
Red Bull memenangi kedua-dua gelaran apabila Max Verstappen muncul juara dunia kali kedua selepas mencipta rekod 14 kemenangan dalam semusim.
Ferrari kini berdepan risiko tersingkir ke tempat ketiga kategori pengeluar menjelang perlumbaan terakhir musim ini di Abu Dhabi, hujung minggu ini, apabila Mercedes hanya ketinggalan 19 mata.
Vasseur adalah prinsipal pasukan Alfa Romeo yang dikendalikan Sauber yang berpengkalan di Switzerland dan menjadi kilang pasukan Audi pada 2026.
Binotto menghabiskan seluruh kariernya di Maranello dan dilantik sebagai bos pasukan itu pada Januari 2019 bagi menggantikan Maurizio Arrivabene.
Khabar angin perubahan itu disiarkan lebih awal di Gazzetta menjelang pengumuman rasmi pasukan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -akan-pecat-binotto |
|