|
ALEX bakal menyertai Gresini Racing musim depan semakin selesa mengemudi jentera Ducati. – AFP
VALENCIA – Pelumba kelahiran Sepanyol, Alex Marquez mengakui semakin serasi dengan jentera Ducati Desmosedici GP22 yang dibekalkan oleh pasukan baharunya, Gresini Racing pada sesi latihan penghujung musim di Litar Valencia sejak awal minggu ini.
Sebagai rekod, Alex membuat keputusan keluar dari LCR Honda dan menyertai Gresini Racing bermula musim depan untuk mengambil alih tempat Enea Bastianini yang dinaikkan pangkat menyertai pasukan utama Ducati bersama juara dunia, Francesco Bagnaia.
Bekas juara dunia saingan Moto2 musim 2019 itu mengakui cukup teruja dengan jentera Ducati yang dilihat lebih berkuasa berbanding jentera RCV yang dibekalkan oleh Honda pada saingan MotoGP yang lepas.
“Sejak mula lagi saya sudah merasai kelainan pada jentera Ducati ini dan bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila saya dapat mencatat masa yang agak pantas dan kompetitif dengan hanya memerlukan 31.8 saat untuk satu pusingan.
“Buat masa ini, saya tidak mahu terlalu mengkritik jentera dan pegawai teknikal Ducati telah memberitahu jentera ini ada ketika agak sukar untuk dikawal khususnya di bahagian hadapan, tetapi ketika ini saya tidak mengalami sebarang masalah kerana ia berbeza dengan Honda.
“Apa yang pasti, saya agak kecewa kerana selepas ini kita akan mengharungi cuti musim sejuk yang panjang kerana saya tidak sabar untuk terus membuat persiapan pramusim bersama jentera ini tahun depan,” kata pelumba berusia 26 tahun itu.
Alex yang merupakan adik kandung kepada juara dunia enam kali, Marc Marquez telah menduduki kedudukan ke-17 keseluruhan musim ini dengan mengutip 50 mata. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2022/11 ... acu-jentera-ducati/ |
|