Bukit Mertajam: Polis berjaya menyelesaikan 87 kes kecurian motosikal yang dilaporkan di negeri ini dan Kedah susulan tangkapan dua lelaki yang turut menjualnya ke negara jiran dengan harga semurah RM1,000 sebuah.
Kedua-dua suspek berusia 41 dan 46 tahun itu ditahan di Butterworth di sini dan Padang Besar, Perlis menerusi Op Lejang Wave Alpha minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kegiatan suspek bermula sejak Mei lalu dengan mensasarkan kawasan parkir motosikal di stesen kereta api di Bukit Mertajam dan Bukit Tengah.
Katanya, mereka mensasarkan motosikal Honda Wave Alpha untuk dijual ke negara jiran pada harga RM1,000 kerana mendapat permintaan tinggi.
"Susulan tangkapan ke atas suspek, polis turut merampas dua motosikal Honda Wave Alpha bersama peralatan mencuri serta beberapa dokumen yang digunakan untuk merentasi sempadan negara.
"Melalui siasatan yang dijalankan, suspek akan hantar sendiri motosikal curi ke negara jiran menggunakan nombor plat pendaftaran miliknya bagi mengaburi mata pihak berkuasa melalui jalan sah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.
Katanya, polis juga sudah mengenal pasti orang tengah yang menjual motosikal curi itu kepada pembeli di negara jiran.
"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau didapati negatif dadah.
"Suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.