|
Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Mohd Syafiq Rasol.
KUALA LUMPUR: Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Mohd Syafiq Rasol tetap `bernafsu' tinggi menjelang pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang, hujung minggu ini biarpun sudah dinobatkan selaku juara keseluruhan kategori CP125.
Syafiq berkata dia tetap akan membuat persiapan rapi dan meletakkan sasaran untuk menaiki podium pada perlumbaan terakhir itu.
"Walaupun saya sudah bergelar juara keseluruhan, saya tetap akan melakukan persiapan rapi untuk pusingan seterusnya sebab saya masih menyasarkan podium pada pusingan akhir ini.
"Cuma, kali ini kurang tekanan dan saya mahu menikmati perlumbaan. Secara jujurnya, ini adalah tahun yang paling gemilang dalam kerjaya saya sebagai pelumba profesional. Mekanik saya sangat membantu sehingga boleh jadikan saya juara keseluruhan.
"Saya amat berterima kasih kepada pasukan saya kerana memberikan yang terbaik kepada saya," katanya.
Mengimbau kembali prestasinya sepanjang saingan musim ini, pelumba kelahiran Melaka itu menaiki podium sebanyak enam kali musim ini termasuk merekodkan tiga gelaran juara.
Dia dinobatkan sebagai juara keseluruhan di pusingan kesembilan selepas selepas mengutip 159 mata.
Syafiq, berkata antara faktor kejayaan dilakarnya musim ini adalah sokongan daripada ahli keluarga dan seluruh kru pasukan.
"Keluarga saya sentiasa memberikan saya dorongan, semangat dan sokongan moral yang diperlukan sehingga saya menjadi juara keseluruhan pada musim ini. Saya amat berterima kasih kepada mereka.
"Tidak lupa juga ahli pasukan saya yang telah banyak membantu saya di setiap pusingan bukan sahaja dari segi penyelarasan jentera malah turut memberikan motivasi.
"Dalam setiap pusingan, saya banyak belajar selok-belok pengendalian jentera dan apa yang paling penting adalah untuk kekal tenang di setiap perlumbaan," katanya
https://www.bharian.com.my/sukan ... ayaan-di-batu-kawan |
|