|
Gambar fail - Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bakal mengharungi jadual kejohanan yang padat pada musim depan dalam misi mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Berdasarkan perancangan awal, pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo bakal melalui tempoh enam bulan yang padat dengan menyertai tiga siri kejohanan Nations Cup atau Piala Negara-Negara iaitu di Jakarta, Mesir dan Kanada yang menawarkan mata kelayakan Olimpik.
"Seterusnya, apa yang penting adalah menyertai Nations Cup di Jakarta, Mesir dan Kanada. Ini adalah kejohanan menawarkan mata ke Olimpik dan akan berlangsung pada Februari, Mac dan April.
"Selepas itu, pada Jun kita akan menganjurkan kejohanan Trek Asia di Nilai (Negeri Sembilan) dari 14 hingga 19 Jun. Itu juga penting kerana menawarkan mata ke Olimpik. Jadi untuk tempoh enam bulan pertama ini akan menjadi sibuk," kata Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh.
"Pada awal Ogos pula, akan ada Kejohanan Dunia di Glasgow, ini juga sangat penting. Jadi beliau akan mempunyai jadual yang padat dan saya pasti, beliau sedang mempersiapkan fizikal dan mentalnya untuk perkara ini."
Amarjit turut gembira dengan perkembangan terbaharu Azizulhasni yang meraih pingat emas dan perak masing-masing dalam acara pecut dan keirin pada edisi ke-125 Austral Wheelrace di Melbourne, Australia, Sabtu lalu.
Katanya, ia satu perkembangan positif daripada sudut pemulihan jaguh trek negara itu selepas menjalani pembedahan jantung lapan bulan lalu.
"Beliau baharu menjalani pembedahan lapan bulan lalu. Beliau seorang yang kental dan menunjukkan dirinya berada di laluan pemulihan yang sebenar. Proses pemulihannya berlangsung dengan baik.
"John Beasley (ketua jurulatih skuad basikal trek) ada berbincang dengan saya dan dia gembira dengan prestasi ditunjukkan Azizulhasni," kata Amarjit.
https://www.bharian.com.my/sukan ... l-padat-tahun-depan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|