|
PEARLY (kanan) dan Thinaah akan beraksi di Terbuka Malaysia. FOTO Aswadi Alias
Kuala Lumpur: Berjaya melonjak ke tangga keenam dunia Selasa lalu jelas meniupkan semangat beregu nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah menjelang saingan Terbuka Malaysia minggu depan.
Menurut Pearly, kedudukan ranking terbaru mereka itu setidak-tidaknya meningkatkan keyakinan untuk memulakan saingan musim 2023 dengan langkah kanan.
"Ia meningkatkan keyakinan kami (selepas ranking naik) tapi kami akan kekal berpijak di bumi yang nyata. Kami hanya mahu fokus kepada diri kami sendiri. Cuba memberikan yang terbaik," kata pemain kelahiran Kedah itu.
Ujar pemain berusia 23 tahun, setakat ini persiapan mereka berjalan lancar dan memberikan fokus sepenuhnya dalam latihan untuk mendapatkan keputusan terbaik.
Sementara itu Thinaah berkata, ranking terbaru mereka memberikan motivasi untuk mengharungi saingan musim ini dan beraksi cemerlang di Axiata Arena minggu depan.
"Bagaimanapun, ranking ini adalah sekadar nombor, apa yang kami harapkan adalah memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata Thinaah yang menjangkau usia 25 tahun Selasa lalu.
Ditanya mengenai saingan Terbuka Malaysia yang akan bermula Selasa depan, pemain kelahiran Selangor itu berkata, mereka hanya akan fokus satu demi satu perlawanan terlebih dahulu.
"Memang kami ada sasaran tersendiri tapi kami akan fokus satu demi satu perlawanan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan kami sendiri," kata Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan kelapan bersama Pearly di Terbuka Malaysia.
Pearly-Thinaah akan memulakan saingan Terbuka Malaysia dengan berdepan pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva di pusingan pertama.
Tahun lalu di kejohanan sama mereka terkandas di pusingan kedua selepas kalah kepada wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 19-21, 14-21.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ngat-pearly-thinaah |
|