Georgetown: Penahanan penganggur dan ejen insurans di sekitar Georgetown di sini, Jumaat lalu, membawa kepada rampasan dadah Methylenedioxy-Methamphetamine (MDMA) dan ketamin bernilai RM129,220.
Ketiga-tiga lelaki berusia 22 hingga 32 tahun itu ditahan pada operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang antara jam 7 petang hingga 10 malam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek pertama ditahan di sebuah apartmen di Lintang Penawar, Jelutong manakala dua lagi ditahan di kondominium berhampiran Gat Lebuh Sandiland, Georgetown.
Katanya, turut ditemukan 151 paket plastik MDMA seberat 2.5 kilogram (kg) dan satu paket ketamin seberat 25.8 gram.
"Hasil risikan mendapati, sindiket terbabit bergiat aktif sejak awal tahun lalu dan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 800 penagih.
"Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.
Polis turut menyita tiga kereta termasuk Ford Mustang milik ejen insurans, sebuah motosikal, dua rantai leher dan rantai tangan dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah serta sitaan ialah RM570,808.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, ketiga-tiga suspek direman sehingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek dikatakan menggunakan wang hasil jualan dadah bagi membeli aset.
"Serbuk MDMA itu banyak digunakan di kelab malam dan setiap paket dijual pada harga RM180 hingga RM200.
"Setakat ini, kami sudah menjalankan 101 serbuan dan menahan 444 individu," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.