Langkawi: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan peribadi kepada 50 asnaf di perkarangan Masjid Al-Hana Kuah di sini, hari ini.
Terdahulu, Baginda yang memandu sendiri kenderaan diiringi anakanda Baginda yang juga Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, tiba di perkarangan masjid jam 1.20 tengah hari.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan anakanda Baginda disambut Pegawai Daerah Langkawi Datuk Abdul Gafar Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi Nasaruddin Abdul Muttalib, Pegawai Agama Daerah Langkawi Syeikh Lokman Ishak dan Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari.
Seterusnya, Baginda berdua menunaikan solat Jumaat bersama 1,500 jemaah dan mendengar khutbah Jumaat bertajuk 'Memakmurkan Bumi Allah' disampaikan Timbalan Pegawai Agama Daerah Langkawi Syeikh Muhammad Fauwaz Syeikh Abdullah.
Solat Jumaat diimamkan Pemangku Imam Masjid Al-Hana Kuah Mohd Dzaher Saad.
Al-Sultan Abdullah kemudian meluangkan masa hampir 30 minit menyantuni penerima sumbangan yang terdiri daripada 50 asnaf terpilih, manakala Tengku Hassanal menyantuni jemaah kanak-kanak.
Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di pulau ini dalam lawatan istirahat selama lima hari hingga Selasa ini, jam 11.15 pagi tadi.
Sementara itu, penerima sumbangan, Budin Mohd Saad, 61, menjunjung kasih atas kurniaan itu dan berkata, sumbangan itu 'sangat besar nilainya' buat dirinya yang menghidap kencing manis.
Budin berkata, sumbangan itu untuk kegunaan harian keluarga, memandangkan isterinya tidak bekerja selain menyediakan keperluan seorang anak yang juga Orang Kurang Upaya (OKU).
Habsah Mehat, 56, berkata, dia teruja apabila dipilih menerima sumbangan disampaikan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah.
"Ini kali pertama saya berjumpa Baginda, terasa teruja sangat-sangat bila menerima sumbangan daripada Baginda.
"Saya orang susah, bila dapat sumbangan sebegini, saya bersyukur sangat kerana sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban ditanggung," katanya.