LANGKAWI: Seorang wanita terperangkap dalam lumpur ketika mencari siput di Titi Lagoon, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sallehuddin Darawi, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu menerusi panggilan MERS 999 pada jam 4.48 petang.
Beliau berkata, berikutan itu, sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.
"Setiba di lokasi, anggota mendapati mangsa, wanita dewasa berusia 32 tahun terperangkap dalam lumpur dan tidak dapat bergerak naik ke darat," katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.
Sallehuddin berkata, mangsa diselamatkan dan dibawa naik ke darat menggunakan tali.
Beliau berkata, mangsa mengadu letih dan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha dengan ambulans untuk pemeriksaan.
Wanita berusia 32 tahun yang terperangkap dalam lumpur ketika mencari siput diselamatkan anggota bomba di Titi Lagoon, Langkawi. NSTP/IHSAN BOMBA