|
Syafiq bersama trofi kejuaraan selepas mengungguli Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix di Sepang semalam.
KUALA LUMPUR: Selepas memenangi Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang semalam, Md Syafiq Rosli kini cuba untuk mengekalkan momentumnya di saingan seterusnya di Litar Jempol, Negeri Sembilan dari 11 hingga 12 Mac ini.
Syafiq yang meraih gelaran juara keseluruhan kelas CP125 pada 2020 berkata, dia mahu melakukan yang terbaik di Jempol meskipun litar berkenaan bukanlah venue yang menjadi kegemaran buat hampir keseluruhan pelumba.
"Permulaan tahun yang agak baik kerana tahun lalu, tuah tidak memihak kepada saya dan saya akan cuba yang terbaik pada tahun ini," kata pelumba berusia 26 tahun dari Taiping, Perak itu.
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu mempunyai trek rekod yang memberangsangkan di Jempol dan pernah meraih penamat di pentas podium di tempat kedua dalam saingan CP115 pada 2019.
"Di Jempol, semua pelumba pernah berlumba di sana dan setiap mereka tahu bagaimana untuk mengadaptasi trek kecil. Jempol, nak kata tak suka pun tidak, nak kata suka pun tidak sebabnya, saya pernah meraih podium di sana.
"Bagi saya, sebagai pelumba walaupun itu bukan trek kegemaran, kami perlu juga mencari (keserasian) sehinggalah berjaya," kata Syafiq.
Pada perlumbaan Pusingan 1 semalam, Syafiq mengungguli perlumbaan dengan catatan 11 minit 21.598 saat (s) manakala Md Amirul Ariff Musa (SCK Honda Racing Team) berada di tempat kedua, 11:21.814s.
Melengkapkan pentas podium di Sepang adalah Md Syamil Amsyar M Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing selepas melakukan catatan 11:22.274s.
https://www.bharian.com.my/sukan ... q-idam-tawan-jempol |
|