|
LECLERC kurang berpuas hati dengan kepantasan jentera SF-23 di laluan lurus apabila menganggapnya sukar menyaingi Red Bull. – AFP
SAKHIR – Pelumba utama pasukan Ferrari, Charles Leclerc tanpa berselindung mengakui, jentera SF-23 masih belum cukup mantap menjelang saingan Formula Satu (F1) 2023 yang akan bermula hujung minggu ini.
Walaupun mendapati prestasi jentera baharu itu lebih baik jika dibandingkan dengan saingan musim lalu, namun dia berharap krew pasukan dapat mencari jalan bagi memastikan jentera dapat memecut lebih laju.
Kata Leclerc, dia sedikit bimbang mengenai saingan musim ini memandangkan pencabar utama kejuaraan, Red Bull langsung tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan prestasi apabila mencatat keputusan positif pada sesi ujian pramusim.
“Saya fikir kami ada beberapa kerja yang perlu dilakukan. Red Bull kelihatan cukup kuat dalam tempoh tiga hari ujian pramusim. Kami perlu berjaga-jaga dengan kemampuan mereka pada saingan musim baharu nanti.
“Saya mencuba pelbagai gaya pemanduan sepanjang sesi ujian dan nampaknya saya sudah semakin serasi. Bagaimanapun, saya merasakan jentera masih belum cukup laju di laluan lurus dan bergelut di selekoh,” katanya.
Justeru, pelumba Monaco itu percaya mereka masih memiliki masa mencukupi untuk mendapatkan pelarasan terbaik sebelum saingan 2023 membuka tirainya di Litar Antarabangsa Bahrain Ahad nanti.
“Kami bekerja keras dapatkan pelarasan terbaik supaya tidak ketinggalan dengan pasukan lain pada hari perlumbaan nanti. Apa yang pasti, jentera ini memiliki aerodinamik lebih baik,” ujar Leclerc. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/03 ... ari-belum-sempurna/ |
|