|
AKSI Hafizh di Litar Mandalika. FOTO Bernama
Kuala Lumpur: Satu mata yang diraih pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah, di perlumbaan kedua Pusingan 2, Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Mandalika, Indonesia semalam bukanlah tiket untuknya berasa puas hati dan gembira.
Menurut bekas pelumba MotoGP itu, masih banyak lagi perlu dilakukan oleh pasukannya jika mahu bersaingan dengan pasukan lain dan memperoleh kedudukan lebih baik selepas ini.
"Kami meraih mata kedua, di mana ia lebih baik daripada tidak dapat apa langsung. Bagaimanapun, saya sedikit kecewa kerana saya sepatutnya berada di sana untuk bersaing dengan pelumba lain," katanya selepas menamatkan perlumbaan kedua semalam di tempat ke-15.
Ujarnya, dia berharap selepas ini mereka mampu untuk mempertingkatkan kemampuan jenteranya bagi bersaing sengit dalam perlumbaan akan datang di Eropah.
"Kami akan terus bekerja keras untuk mencapai sasaran. Apa pun perlumbaan hari ini (semalam) bukannya mudah. Walaupun kami sudah mempertingkatkan sedikit pakej keseluruhan, saya masih jauh ketinggalan berbanding pelumba lain.
"Saya hanya mampu dapat bersaing dengan mereka di peringkat awal perlumbaan sahaja. Selepas itu saya mula kehilangan kelajuan dan keciciran masa ketika di selekoh.
"Bagaimanapun, saya berharap mampu untuk mengambil langkah seterusnya menjelang perlumbaan bulan depan," katanya yang menduduki tempat ke-16 pada perlumbaan kedua.
Tempat ke-15 yang diraih Hafizh mengulangi pencapaiannya pada perlumbaan pertama pusingan pertama di Litar Philip Island bulan lalu.
Sementara itu rakan sepasukannya, Eric Granado tidak dapat memulakan kedua-dua perlumbaan kerana masalah kesihatan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -ketinggalan-hafizh |
|