|
BAGNAIA di landasan terbaik untuk bermula dengan cemerlang musim ini. FOTO EPA
Paris: Penyandang juara MotoGP, Francesco Bagnaia mendominasi dua aksi ujian pramusim yang berakhir semalam di Portimao, Portugal.
Pelumba Itali itu mencatat masa terpantas dengan jentera Ducati mengatasi wakil Ducati-Pramac, Johann Zarco dan Fabio Quartararo dari Yamaha.
Bagnaia adalah satu-satunya pelumba dalam ujian itu yang mencatatkan kelebihan 1 minit 38 saat (s) semalam, memecahkan rekod pusingan yang dibuatnya pada 2021.
"Saya sangat gembira. Saya mempamerkan tunggangan mantap dalam tempoh lima hari ujian," kata Bagnaia.
Dia mencatat 0.296s lebih pantas daripada masa terbaik Zarco dan 0.334s lebih baik daripada Quartararo.
Quartararo, juara dunia 2021 dan naib juara tahun lalu, bergelut untuk bersaing semasa ujian tiga hari di Sepang pada pertengahan Februari dan mengharungi hari mengecewakan Sabtu lalu di Portimao apabila dia hanya menduduki tempat kelapan terpantas.
"Ia satu peningkatan besar. Saya sangat gembira. Masih ada beberapa lagi perkara belum selesai namun saya menunjukkan peningkatan berbanding kelmarin dan di Sepang," katanya.
Pelumba Itali, Luca Marini (Ducati-VR46), yang juga pelumba terpantas di Sepang, menduduki tempat keempat terpantas.
Litar Portimao di selatan Portugal akan menjadi lokasi sulung Grand Prix (GP) 2023 pada 26 Mac ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... a-laung-amaran-awal |
|