|
DAMOK puas hati dengan kemajuan dicapai ketika sesi ujian rasmi.
Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman, sudah bersedia untuk penampilan sulung secara musim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini, bermula di Grand Prix (GP) Portugal,di Litar Antarabangsa Algrave, Portimao, selatan Portugal, hujung minggu ini.
Pelumba tunggal negara dalam saingan MotoGP musim ini berusia 21 tahun yang lebih dikenali sebagai Damok, berpuas hati dengan kemajuannya semasa ujian rasmi selama tiga hari, hujung minggu lalu, di litar berkenaan.
Saingan pembuka tirai kempen 2023 di litar berkenaan dari hujung minggu ini sebelum saingan beralih ke pusingan kedua di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina, 31 Mac hingga 2 April.
Damok, mewakili pasukan MT Helmets-MSL, berkata pasukan dari Sepanyol itu telah melakukan penambahbaikan ketara pada persediaan jentera KTM dan memperbaiki catatan masa sepusingannya sejak hari pertama sesi ujian berkenaan.
"Pasukan berpuas hati dengan penambahbaikan yang saya lakukan. Saya mula memahami jentera baharu saya dengan lebih baik...pasukan mengatur ujian dengan teliti dan saya gembira dengan usaha mereka.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan atas kerja keras mereka selama tiga hari ujian terakhir. Saya benar-benar gembira," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kedudukan terbaik Damok semasa ujian itu ialah tempat ke-10 dalam latihan bebas (FP) lapan, mencatat masa 1:47.778s, peningkatan daripada tempat ke-19 dalam sesi latihan pertama iaitu 1:52.068s.
Damok, yang membuat penampilan sulungnya dalam Moto3 sebagai pelumba wildcard pada GP Aragon 2021, membuat empat lagi penyertaan wildcard tahun lalu, iaitu di GP Portugal, Sepanyol, Catalunya dan Malaysia.
Kempen 2023 menyaksikan sebanyak 21 pusingan perlumbaan berlangsung dengan Malaysia menjadi venue bagi pusingan ke-19 dari 10 hingga 12 Nov ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -sulung-di-portugal |
|