|
GEORGE RUSSEL menamatkan saingan GP Arab Saudi di kedudukan keempat, manakala Lewis Hamilton di kedudukan kelima. – AFP
JEDDAH – Ketua Pasukan Mercedes, Toto Wolff mengakui tidak selesa dengan dominasi pasukan Red Bull pada awal saingan Formula Satu (F1) selepas merekodkan kemenangan 1-2 pada dua perlumbaan Grand Prix (GP) musim ini.
Sebagai rekod, Red Bull berjaya meraih kemenangan 1-2 pada GP Bahrain dengan kejuaraan dimenangi oleh Max Verstappen sebelum mencatat keputusan yang sama pada GP Arab Saudi, tetapi kini giliran Sergio Perez sebagai pemenang.
Kata Wolff, apa yang dipamerkan oleh Red Bull bukanlah perkara yang asing memandangkan pasukan Mercedes pernah melakukan perkara yang sama ketika di puncak prestasi beberapa musim lepas.
“Saya akui tidak senang dengan apa yang Red Bull lakukan musim ini meskipun pasukan kami juga pernah melalui situasi yang sama. Namun, percayalah ia bukanlah satu perkara yang bagus apabila pasukan yang sama sahaja menang perlumbaan.
“Selain itu, ia juga akan menyaksikan F1 sebagai sukan permotoran yang membosankan kerana tiada lagi elemen kejutan, tetapi inilah hakikat yang perlu diterima kerana ia menjadikan F1 itu unik,” katanya
Sementara itu, Wolff juga mengakui sukar untuk merapatkan jurang dengan Red Bull ketika ini yang sememangnya cukup pantas, tetapi barisan kejuruteraan pasukan sedang bekerja keras untuk memastikan saingan lebih kompetitif menjelang Grand Prix (GP) Australia.
“Jentera Red Bull sangat pantas, namun saya masih lagi meletakkan harapan agar dua pelumba kami mampu memberikan saingan kompetitif.
“Barisan kejuruteraan kami sedang bekerja keras untuk mencari ramuan sempurna bagi memberi cabaran sengit kepada pesaing,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/03 ... -dominasi-red-bull/ |
|