|
Rembau: Penduduk di Taman Pinggiran Pedas, dekat sini, bingung selepas tiga hingga empat tiang talian telefon di kawasan perumahan mereka terbakar secara mendadak, awal pagi semalam.
Peniaga biskut, Norehan Abd Roob, 45, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 6 pagi itu dia berada di bilik air sebelum terdengar jiran di belakang rumah memanggilnya beberapa kali.
"Saya tidak jangka yang ada kebakaran sebelum keluar ke pintu belakang dan mendapati tiang telefon sedang terbakar. Kami agak panik ketika itu memandangkan tiangnya sangat dekat dengan bumbung rumah.
"Saya kemudiannya memaklumkan kejadian kepada jiran yang memang bekerja dalam dengan Telekom dan dia memaklumkan api itu boleh dipadam sendiri menggunakan air," katanya ketika ditemui, hari ini.
Norehan berkata, dia pada mulanya bimbang memadam api kerana khuatir menyebabkan kejutan elektrik.
"Bagaimanapun, selepas kami menyiram air menggunakan paip, api mulai padam. Bagaimanapun kejadian sama turut berlaku di Lorong PP1 dan PP6 yang mana bomba datang untuk memadamkan kebakaran," katanya.
Warga emas, Daniah Sarip, 70, berkata, ketika kejadian dia baru selesai bersahur dan mahu membasuh baju menggunakan mesin basuh di belakang rumah sebelum ternampak api dari bahagian atas bumbung.
"Saya tidak tahu nak buat apa kerana waktu itu saya panik dan hanya keseorangan di rumah. Jadi, saya memanggil jiran untuk meminta tolong.
"Kebakaran ini secara tiba-tiba kerana sebelum ini tidak pernah berlaku dan saya rasa ia sangat pelik. Saya risau juga jika kebakaran ini merebak ke rumah kerana tiangnya sangat dekat rumah," katanya.
PENDUDUK menunjukkan tiang telefon yang terbakar dekat rumah mereka di Taman Pinggiran Pedas. FOTO Ahmad Hasbi
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima dua panggilan mengenai kejadian berkenaan di Taman Pinggiran Pedas.
"Panggilan pertama pada jam 7.04 pagi dan panggilan kedua jam 11.31 pagi hari yang sama masing-masing di Lorong PP1 serta PP6 di taman berkenaan. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau ke lokasi.
"Kebakaran membabitkan kotak yang berada pada tiang berkenaan. Kotak diperbuat daripada plastik dan apabila terbakar ia mencair dan jatuh seolah tiang telefon yang terbakar.
"Bagaimanapun, keadaan terkawal dan tiada kediaman yang terjejas. Difahamkan pihak berkenaan sudah membaiki kerosakan pada tiang itu dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... on-terbakar-metrotv |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|