Sik: Warga emas yang dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Kampung Desa Jaya, Mukim Jeneri, di sini, sejak Khamis lalu ditemukan selamat, awal pagi hari ini.
Saadiah Senawi, 90-an, ditemukan penduduk kampung kira-kira satu kilometer berhampiran kawasan hutan jam 3.30 pagi tadi.
Anak kedua mangsa, Rahim Osman, 63, berkata, dia bersyukur kerana ibunya ditemukan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
Katanya, sejak ibunya hilang, mereka sekeluarga bimbang keselamatannya disebabkan warga emas itu mempunyai masalah nyanyuk.
"Kami tidak putus asa mencarinya dengan bantuan penduduk kampung serta pelbagai agensi penyelamat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Rahim berkata, dia yang tinggal bersebelahan rumah ibunya menyedari kehilangan wanita itu ketika hendak menghantar makanan jam 11 pagi Khamis lalu.
Katanya, selepas menyedari ibunya gagal dikesan, mereka membuat laporan polis.
"Sepanjang kehilangannya, memang saya susah hati dan berdoa supaya dia ditemui selamat memandangkan ketika ini masih dalam suasana Ramadan.
"Alhamdulillah syukur apabila dia ditemui semula pagi tadi kerana tak lama lagi nak sambut Aidilfitri," katanya.
Menurut Rahim, ibunya dihantar ke Hospital Sik untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, penduduk kampung melakukan solat hajat sebelum melakukan pencarian warga emas terbabit pada jam 12.01 tengah malam tadi.
Beliau berkata, hasil daripada itu, ia membawa petunjuk dan pencarian dilakukan dalam jarak satu kilometer dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.
"Ketika memanggil nama mangsa, penduduk kampung terdengar sahutan daripada warga emas berkenaan sebelum menemui mangsa di satu kawasan berceruk.
"Mangsa ditemui dalam keadaan baik tetapi lemah kerana tidak makan dan minum sejak beberapa hari lalu," katanya.
Operasi disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik, Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM).