SUNGAI PETANI: Seorang pelajar Tingkatan Empat maut, manakala dua pelajar Tingkatan Tiga cedera selepas motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan di Jalan Kampung, Bukit Belah, Tikam Batu, di sini malam tadi.
Muhammad Khal Iskandar Dimaz, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekula Jaya dari Kampung Masjid, Tikam Batu, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala. Dua lagi pelajar berusia 15 tahun, masing-masing cedera kaki kanan dan bahagian muka serta kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata nahas membabitkan tiga motosikal, iaitu Honda Wave, Honda Rs dan Sym Sport, masing-masing ditunggang tiga pelajar lelaki terbabit.
Katanya, kejadian dipercayai jam 11.15 malam tadi ketika ketiga-tiga mangsa menunggang dari arah sama, iaitu Tikam Batu menghala ke Bukit Kechil.
"Kemalangan dipercayai apabila motosikal Honda Rs ditunggang salah seorang pelajar berusia 15 tahun dalam proses berpatah balik. Pada masa sama, datang motosikal Honda Wave ditunggangi mangsa yang maut dan Sym Sport ditunggang seorang lagi pelajar berusia 15 tahun dari arah belakang.
"Mereka tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal Honda Rs berkenaan. Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga pelajar cedera dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, pada jam 12.30 tengah malam tadi, pihaknya dimaklumkan yang Muhammad Khal Iskandar meninggal dunia sebelum jenazah dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat.
"Dua lagi pelajar yang cedera masih dirawat di HSAH. Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.