KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man tiba di Kompleks Mahkamah Kangar di sini pagi tadi bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau yang berpakaian kemeja biru cerah serta berseluar biru gelap tiba bersendirian kira-kira jam 8.15 pagi dan terus masuk ke Mahkamah Sesyen 1.
Turut hadir bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Hamizan Hassan dan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perlis, Saiful Daniel Mohd Yusof yang juga bekas calon BN bagi DUN Sena pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Azlan akan menghadapi pertuduhan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Azlan diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid manakala pendakwaan akan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib.
Azlan, 64, menjadi ADUN Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lalu, sebelum tewas pada PRU15.
Azlan yang juga Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022 juga gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini. – BERNAMA