Kulim: Kasihnya Muhammad Fadzil Saidin kepada anak didiknya ibarat sayang terhadap keluarga kandung sendiri.
Buktinya, pemuda berusia 30 tahun itu nampak ikhlas dalam menyantuni anak istimewa yang juga pelajarnya di Pusat Jagaan Amal Kulim, di sini sejak mengajar di situ enam tahun lalu.
Hubungan baiknya dengan pelajar jelas kelihatan menerusi video dimuat naik Muhammad Fadzil di TikTok yang mendapat perhatian netizen.
Menerusi video itu, kelihatan Muhammad Fadzil merakam video sebelum dicium salah seorang pelajar lelakinya ketika di dalam kelas.
Berkongsi kisah itu, Muhammad Fadzil berkata, video itu dirakam ketika dia sedang berehat di dalam kelas.
"Saya saja-saja rakam video dengan pelajar ketika itu dan kebetulan, salah seorangnya berdiri di sebelah.
"Tiba-tiba, pelajar itu semakin dekat dengan saya dan ingatkan dia nak tiup saja rupanya terus cium pipi saya.
"Terkejut juga tapi tak rasa apa pun. Lagipun, pelajar berkenaan memang rapat dengan saya dan mungkin itu cara dia nak bermanja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Muhammad Fadzil, setakat ini, kebanyakan maklum balas diterima amat positif.
"Bagaimanapun, ada juga yang negatif dengan mengaitkannya dengan gangguan seksual.
"Saya terima apa juga komen dilemparkan dan cuba pandang daripada sudut positif.
"Apa yang penting, saya gembira dan puas kerana dapat mengajar mereka. Lagipun tak semua sabar serta sanggup dan menuntut kesabaran tinggi selain perlu ada jiwa penyayang.
"Secara peribadi, saya dapat rasakan menjaga anak istimewa ini mungkin lebih mudah daripada yang normal dan istimewanya mereka kerana amat memahami walaupun ada kekurangan," katanya.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, selagi diberi kepercayaan, dia akan terus mengajar anak istimewa.
"Buat masa ini, saya terus kerja di sini kerana tiada masalah pun.
"Jika ada rezeki akan datang, mungkin akan pertimbangkan untuk mengajar di tempat lain untuk menimba pengalaman lain," katanya.