ALOR SETAR: Kerajaan negeri didesak tidak meluluskan sebarang usaha penerokaan sumber mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, dekat sini.
Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Sobri Ramlee, berkata ini kerana kerja penerokaan mineral itu yang dilakukan sebelum ini didapati memberi kesan kepada sumber air bersih penduduk sekitar.
Beliau berkata, penduduk di sekitar hutan simpan terbabit selama ini bergantung kepada sumber air bukit sebagai punca utama, namun keadaan berubah apabila cari gali NR-REE mula dilakukan.
"Adakah kerajaan negeri masih berhasrat meneruskan usaha penerokaan NR-REE berikutan sehingga kini ia tidak termasuk sebagai hasil hutan di bawah Seksyen 2 Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara.
"Jadi kami harap kerajaan negeri tidak meluluskan sebarang usaha penerokaan NR-REE pada masa hadapan demi kelangsungan penduduk yang bergantung kepada sumber air dari Hutan Simpan Bukit Enggang," katanya melalui kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media mendedahkan berlakunya kegiatan penerokaan NR-REE secara besar-besaran di Hutan Simpan Bukit Enggang sehingga mengganggu kehidupan penduduk, selain turut menjejaskan sumber air mereka.
Mohd Sobri berkata, kerajaan negeri seharusnya tegas dalam menjaga khazanah alam dan sebarang pindaan berkaitan undang-undang perhutanan negeri Kedah perlu dibuat bersama penyertaan awam.
"Memorundum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) bersama syarikat swasta memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti haram di Hutan Simpan Bukit Enggang.
"Susulan kegiatan pencerobohan yang berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang, penduduk tertanya apakah tindakan kerajaan negeri ke atas penceroboh yang ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah pada Februari lalu," katanya.