GEORGETOWN: Dua rumah di Jalan Perak, di sini, rosak selepas dihempap sebatang pokok besar yang tumbang ketika hujan lebat berserta angin kencang yang melanda kira-kira jam 5 petang tadi.
Satu daripada rumah itu terbabit mengalami kerosakan pada sebahagian bumbung dan dinding, manakala sebuah lagi rumah rosak pada struktur dipercayai tempat penyimpanan barang serta kenderaan.
Penghuni salah sebuah rumah, Hardeep Singh, 59, berkata ketika kejadian hanya isteri, ibu mentua dan dua anaknya berada di rumah.
"Saya ketika berada di luar tidak jauh dari rumah....seketika kemudian saya terdengar dentuman kuat sebelum dihubungi anak memaklumkan rumah kami ditimpa pokok.
"Saya sangka hanya pokok kecil, rupa-rupanya ia membabitkan pohon sebesar kira-kira dua pemeluk dewasa di hadapan rumah kami. Mujurlah tiada sesiapa cedera," katanya ketika ditemui.
Hardeep berkata, hanya sebahagian bumbung dan dinding rumahnya rosak, namun tidak pasti mengenai jumlah kerugian.
Pengguna jalan raya yang menjadi saksi kejadian ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, Ahmad Hisham Amin, 38, berkata kejadian berlaku sangat pantas dan dia terus memanggil penghuni kedua-dua rumah untuk menyelamatkan diri.
"Ia tumbang mengenai rumah, menyebabkan kerosakan harta benda dan saya tidak pasti apa akan berlaku jika ia tumbang ke arah jalan raya," katanya lagi.
Sementara itu tinjauan mendapati aliran trafik sesak sehingga lima kilometer berikutan kejadian itu berlaku pada waktu puncak.
Pemerhatian mendapati pokok dengan ukur lilit kira-kira dua meter itu tumbang merentangi kabel elektrik dan anggota polis ditempatkan untuk memantau kejadian, selain membantu memastikan kelancaran trafik.