Sungai Petani: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu laporan polis berhubung kematian seorang
kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang meninggal dunia yang didakwa akibat kecuaian pihak hospital di Selangor, baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya berharap semua pihak bertenang dan siasatan sedang dilakukan untuk mengetahui punca kejadian berlaku.
Beliau berkata, pihak juga perlu mendapatkan maklumat terperinci daripada semua pihak terbabit sebelum mengulas lanjut berhubung perkara itu.
"Saya tak nak cakap lebih-lebih kerana kes itu sudah menjadi kes polis sebelum tindakan dilakukan," katanya pada sidang media Program Madani Afiat dan Majlis Perasmian Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Padang UEPE, Taman Ria jaya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zaliha menasihatkan semua pihak supaya mendengar perkara yang berlaku daripada pihak yang terbabit contohnya Pengarah Kesihatan Negeri dan sebagainya sebelum menular melalui media sosial
"Saya minta supaya rakyat di luar sana lebih berhati-hati dan mendapatkan sumber yang betul serta jangan menyebarkan perkara yang tidak baik terutama di media sosial," katanya.
Media sebelum ini melaporkan kematian seorang kanak-kanak perempuan, Dea Maisarah Bada, 10, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor, baru-baru ini.