Sungai Petani: Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)
@sungai Petani yang berlangsung di Dataran Amanjaya selama tiga hari bermula 14 Julai hingga 16 Julai lalu menarik minat lebih 30,000 orang.
Jumlah kutipan yang diperolehi sepanjang tiga hari itu melepasi sasaran RM200,000.
Kebanyakan pengunjung berpuas hati dan berharap program itu dapat diteruskan kerana banyak memberi manfaat terutama dalam memasarkan produk desa dan tempatan.
Pengunjung, Mahsuri Khalil, 59, dari Tikam Batu berkata, hasil jualan produk yang dijual di sini dengan harga murah dan berpatutan untuk semua peringkat usia.
Katanya, dia yang datang seawal jam 10 pagi bersama anak, menantu dan cucunya untuk melihat produk yang dijual oleh usahawan tempatan.
"Semua produk yang dijual berkualiti dan mampu dibeli termasuk menggunakan kupon yang diberi secara percuma oleh penganjur," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Siti Fatimah Ahmad, 40, dari KEDA Sungai Tok Pawang di sini, berkata, program ini sangat bagus dan perlu dianjurkan setiap tahun.
Katanya, selain membeli barangan makanan dan pakaian, pengunjung boleh melihat haiwan ternakan di laman ternakan atau mini zoo yang disediakan di sini.
"Seronok jugak dapat tengok sendiri barangan keluaran usahawan sekali gus dapat membantu peniaga menjana pendapatan," katanya.

PELATIH Giat Mara Alor Setar turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut Rahmah RM5 seorang sepanjang tiga hari karnival berlangsung. - Gambar NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Sementara itu, di gerai Pusat Giat Mara Alor Setar pula, perkhidmatan gunting RM5 seorang disediakan untuk pengunjung sepanjang tiga hari karnival bermula.
Pengurus Giat Mara Alor Setar, Rosliza Othman berkata, promosi harga murah itu hanya boleh didapati sepanjang tiga hari program itu berlangsung.
Beliau berkata, namun perkhidmatan gunting rambut itu hanya disediakan untuk pengunjung lelaki sahaja tanpa mengira peringkat usia.
"Seramai enam pelatih dari Pusat Giat Mara Alor Setar mengendalikan program gunting rambut Rahmah ini dengan menggunakan kemahiran yang ada untuk menggunting rambut.
"Ini sekali gus dapat membantu jana ekonomi selain memberi pengalaman pada pelatih yang terbabit untuk menunjukkan kemahiran dan pengalaman mereka.
"Selain itu, ia dapat menjimatkan kos terutama yang mempunyai anak-anak ramai kerana biasanya harga gunting rambut pada ketika ini sekitar RM10 seorang," katanya.
Rosliza berkata, setiap pelatih mempunyai pengalaman belajar sekitar enam bulan menjalani latihan teori dan praktikal di pusat giat mara itu sebelum berani mengorak langkah untuk menggunting rambut pelanggan.
Kesemua mereka adalah pelatih Kursus Senireka Gaya Rambut.
"Sebelum ini kami pernah menyertai program sama di Stadium Suka Menanti Alor Setar dan Program Malaysia Madani Bukit Tangga.
"Alhamdulillah, ramai yang berpuas hati dengan perkhidmatan gunting rambut yang dikendalikan oleh pelatih kami setakat ini," katanya.

MOHD Faris membawa lembu ternakannya yang diberi nama Rambo untuk jualan.
Sementara itu, bekas pelatih Pusat Giat Mara Alor Setar, Mohamad Syafiq Musa, 27, berkata, dia kini sudah membuka dua kedai menggunting rambut iaitu di Bukit Tinggi dan Telaga Bata, Langgar di Alor Setar.
Katanya, dia bersyukur kerana perkhidmatan menggunting rambut sepanjang karnival ini berlangsung yang memberi pulangan rezeki yang lumayan serta menguntungkan.
"Sepanjang belajar di Pusat Giat Mara di Alor Setar, saya belajar semua teknik menggunting rambut, mencuci serta pelbagai gaya rambut mengikut cita rasa pelanggan," katanya.
Sementara itu, penternak lembu, Mohd Faris Ishak, 22, berkata, lembu peliharaannya yang diberi nama 'Rambo' seberat 950 kilogram (kg) dari baka German turut dibawa ke mini karnival berkenaan untuk jualan.
Katanya, selain Rambo, lembu diberi nama Mat Salleh seberat 1,009kg jenis baka Charolais turut menarik perhatian pengunjung serta 'Ismail' seberat 500kg.
"Saya pelihara Rambo sejak dia lahir hingga sekarang beratnya sudah mencecah lebih 900kg.
"Ia seekor lembu yang baik dan cuma makan rumput kering, napier dan dedak," katanya yang menetap di Perlis.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Usahawan Desa, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Zaflin Pakwanteh berkata, program Mini KUD@ Sg Petani sebagai platform untuk usahawan desa meneroka peluang pasaran baharu yang lebih luas.
Beliau berkata, karnival ini juga sebagai usaha kementerian untuk membantu meningkatkan jualan usahawan selain menarik pembabitan golongan belia untuk berkecimpung dalam bidang usahawan.
"Alhamdulillah setakat tengahari tadi kita berjaya melepasi sasaran jumlah pengunjung dan dari segi jualan," katanya.