Butterworth: Kerajaan yakin Jualan Rahmah Bergerak yang dilaksanakan akan merangsang pemain industri untuk menjual barangan mereka pada harga murah di pasaran.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh, berkata harga jualan ini murah berbanding harga pasaran kerana kerajaan yang meletakkan harga memandangkan ia adalah program inisiatif dilaksanakan untuk rakyat.
Katanya, berbeza dengan pasaran apabila harga jualan ditetapkan pihak industri sendiri berikutan pasaran ekonomi yang diamalkan di negara ini bersifat terbuka.
"Seperti yang kita sedia maklum, kita (negara) mengamalkan pasaran ekonomi terbuka dan ada banyak 'forces' (halangan) antaranya industri itu sendiri.
"Ini kerana industri yang letakkan harga sedangkan jualan rahmah ini pula kerajaan yang meletakkan harga, yang mana saya yakin dengan jualan rahmah bergerak ini kita menetapkan model yang lama kelamaan akan diikuti oleh industri untuk turut menjual harga murah di pasaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau program Jelajah Jualan Rahmah di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Pada program jelajah itu, masyarakat di Pulau Pinang dapat membeli daging segar yang dijual hanya pada harga RM27 berbanding RM38 sekilogram.
Selain itu, harga pelbagai barangan lain yang ditawarkan pada program itu juga murah sehingga 30 peratus berbanding pasaran.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan rakan strategik yang mendokong aspirasi kerajaan dalam menjaga hak pengguna.
"Bila kita jumpa dengan partner (rakan) begini pihak kementerian yakin ia (harga murah di pasaran) dapat dilakukan (kelak).