BAYAN LEPAS: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasarkan 15 syarikat Rakan Usahawan PUNB dalam bidang automotif bagi menyertai Program Petronas AutoExpert tahun ini.
Program Petronas AutoExpert yang merupakan kerjasama PUNB dengan Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMMSB) itu dijalankan bagi membolehkan Rakan Usahawan PUNB menjalankan perniagaan bengkel kenderaan berkonsep di bawah jenama syarikat minyak utama Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, berkata setakat ini terdapat lima Rakan Usahawan PUNB dalam bidang automotif menyertai program diperkenalkan tahun lalu.
"Setakat ini, lima Rakan Usahawan PUNB menyertai program terbabit dan Prima First Auto Sdn Bhd (PMASB) adalah yang terbaharu menyertainya.
"Bengkel Petronas AutoExpert yang pertama di Malaysia iaitu Autohaus KL di Seksyen 15, Shah Alam juga adalah Rakan Usahawan PUNB," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Petronas AutoExpert @Jawi Tyre & Workshop di Sungai Tiram, di sini, semalam.
Mengulas lanjut Izwan berkata, melihat kepada maklum balas yang positif, PUNB terus menyokong program berkenaan bagi menambah bilangan Rakan Usahawan PUNB menyertai program Petronas AutoExpert.
Katanya, ia sekali gus membantu menaikkan taraf bengkel usahawan Bumiputera kepada suasana yang lebih kondusif.
"Menerusi Program Petronas AutoExpert, bengkel Rakan Usahawan PUNB yang layak akan dibantu daripada aspek pembiayaan perniagaan bagi di naik taraf menjadi pusat servis sehenti yang menyediakan sokongan kepakaran serta capaian sudut sistem dan kelengkapan termaju termasuk pelincir.
"Mereka yang menjadi rakan niaga Petronas AutoExpert juga akan menerima latihan, sokongan pemasaran, program dagangan serta rundingan bagi pembangunan perniagaan daripada Petronas," katanya lagi.
Majlis disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PLMMSB, Mohd Zameer Mohd Zahur Hussain.
PMASB yang ditubuhkan pada September 2015 menjadi Rakan Usahawan PUNB sejak 2021 dan syarikat berkenaan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan serta mempunyai dua cawangan di Jawi dan Parit Buntar, Perak.
PMASB terpilih bagi membuka pusat penyelenggaraan kenderaan kategori 'flagship' Petronas AutoExpert yang pertama di Pulau Pinang di bawah kerjasama PLMMSB dan PUNB.
Cawangan ini adalah pusat penyelenggaraan kenderaan yang ketiga di bawah jenama Jawi Tyre & Workshop.