CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1386|Reply: 0

[Pulau Pinang] DUN Bertam, Sungai Dua antara kerusi panas PRN Pulau Pinang

[Copy link]
Post time 29-7-2023 09:22 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 29-7-2023 09:24 PM

DUN Bertam, Sungai Dua antara kerusi panas PRN Pulau Pinang

29 Julai 2023   08:16pm





Calon Barisan Nasional bagi DUN Bertam, Datuk Seri Reezal Marican Naina Merican (kiri) bersama pencabar, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bersatu) selepas menyerahkan borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri Dewan Millenium, pada Sabtu. - Foto Bernama




GEORGE TOWN - Beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dianggap kerusi 'panas' dan mencuri tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini susulan kemunculan beberapa figura besar untuk bertanding di kerusi berkenaan.

DUN Bertam dalam Parlimen Kepala Batas antara yang menjadi perhatian apabila gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mempertaruhkan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk menentang penyandang Khaliq Mehtab dari Bersatu.

Pada PRU14, Khaliq Mehtab daripada PH ketika itu menang dengan undi majoriti 219 selepas memperoleh 6,485 undi, menewaskan Shariful Azhar Othman (BN) yang mendapat 6,268 undi dan Mokhtar Ramli (Pas) dengan 2,986 undi.

Turut menjadi tumpuan pada PRN kali ini adalah kerusi DUN Sungai Dua di bawah Parlimen Tasek Gelugor yang menyaksikan pertembungan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin dan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dalam pertembungan satu lawan satu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, kehadiran personaliti itu menjadikan kedua-dua kerusi DUN berkenaan menjadi tumpuan.

"Secara amnya, Parlimen Kepala Batas adalah kubu UMNO dan BN...namun setelah kekalahan Reezal pada Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, inilah peluang untuk BN dan Reezal menebus kekalahan itu di DUN Bertam pula.

"Ini bukan perkara yang senang untuk Reezal kerana lawannya merupakan penyandang yang telah dikenali pengundi," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Selain Bertam dan Sungai Dua, beliau berkata kerusi DUN Bagan Dalam dan DUN Perai turut dikatakan 'panas' kerana calon PH daripada DAP di kedua-dua kerusi itu bakal ditentang dua bekas ahli DAP iaitu Satees Muniandy dan David Marshel.



Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengesahkan seramai 95 calon termasuk empat calon Bebas akan bertanding bagi merebut 40 kerusi DUN di Pulau Pinang pada PRN ini.

Pada PRN Pulau Pinang kali ini, kerusi DUN Perai, Pantai Jerejak, Bagan Dalam dan Sungai Pinang masing-masing menyaksikan pertembungan empat penjuru; Padang Lalang, Bukit Tambun, Tanjong Bunga, Air Putih, Kebun Bunga, Pulau Tikus dan Batu Uban (tiga penjuru) dan selebihnya pertembungan satu lawan satu.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, perjalanan proses penamaan calon di semua pusat penamaan calon di negeri itu berjalan lancar dan aman dengan kehadiran pegawai dan anggota polis di 23 Pusat Penamaan Calon.

Beliau juga meminta semua pihak terutama parti-parti politik untuk terus mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan tidak berlaku ketegangan ketika proses berkempen.

Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula Sabtu sehingga 11.59 malam, 11 Ogos.

SPR menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-3-2025 04:33 PM GMT+8 , Processed in 0.190454 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list